Di tengah kemusnahan perang yang masih berpanjangan di Gaza, dua remaja perempuan memilih untuk melihat runtuhan bukan sekadar simbol kehilangan, tetapi peluang untuk membina semula harapan.
Farah dan Tala Mousa mencuri perhatian dunia selepas berjaya menghasilkan bata boleh guna semula daripada serpihan bangunan musnah sehingga dinobatkan sebagai pemenang serantau Timur Tengah bagi anugerah The Earth Prize.
Lebih menyentuh hati, idea itu lahir ketika mereka sendiri tinggal di khemah selepas rumah keluarga mereka musnah akibat perang.
Menurut Tala, 17, keadaan di sekeliling menjadi pendorong utama untuk mencari penyelesaian terhadap lambakan runtuhan yang memenuhi Gaza.
“Selepas seluruh bandar kami menjadi runtuhan, segala yang berlaku di sekeliling mendorong kami untuk mencari penyelesaian,” katanya kepada BBC.
Bata yang dihasilkan itu dibuat dengan menghancurkan serpihan bangunan sebelum dicampur bersama bahan seperti tanah liat, abu dan serbuk kaca.
Ia kemudian dibentuk menjadi blok ringan serta kos rendah yang sesuai digunakan untuk laluan pejalan kaki, dinding pemisah dan kawasan kebun.
Mereka juga menguji ketahanan bata tersebut dengan membantu seorang jiran menahan khemah ketika cuaca buruk.
Bagi Farah, 15, kemenangan itu bukan sekadar pengiktirafan, tetapi peluang untuk membantu lebih ramai penduduk Gaza membina semula kehidupan sendiri.
Dua beradik itu merancang menggunakan wang kemenangan bernilai AS$12,500 bagi melatih kira-kira 100 golongan muda menghasilkan bata tersebut, dengan sasaran sekurang-kurangnya 200 unit dapat dihasilkan.
“Kami cuba mengubah sesuatu yang negatif menjadi positif dengan tidak melihat runtuhan hanya sebagai simbol kemusnahan dan kehilangan,” ujar Tala.
Tambahnya lagi, mereka memilih untuk melihat runtuhan itu sebagai permulaan kepada sesuatu yang baharu.
Tambahnya lagi, mereka memilih untuk melihat runtuhan itu sebagai permulaan kepada sesuatu yang baharu.
Anugerah The Earth Prize diberikan kepada golongan muda yang menghasilkan penyelesaian terhadap cabaran alam sekitar di seluruh dunia.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hampir 90 peratus penduduk Gaza terpaksa berpindah sejak perang bermula pada 2023, manakala kerosakan di wilayah itu dianggarkan mencecah AS$70 bilion menjelang awal 2025.