Kecanggihan teknologi hari ini membuka ruang kepada setiap generasi untuk berkongsi pelbagai rasa, pandangan dan pengalaman, khususnya menerusi media sosial.
Dalam keterbukaan itu, semakin ramai yang berani bercakap tentang kesihatan mental, termasuk tekanan, kebimbangan dan cabaran emosi yang dihadapi. Perkara yang suatu ketika dahulu dianggap sensitif, kini menjadi perbualan yang lebih terbuka dalam masyarakat.
Namun, dalam masa yang sama, wujud persepsi daripada generasi terdahulu yang melihat generasi kini sebagai kelihatan kuat dari luaran, tetapi rapuh secara dalaman. Persepsi ini akhirnya membawa kepada label seperti 'strawberry generation'.
Pensyarah Kulliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia merangkap Pakar Perunding Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja, Dr Rozanizam Zakaria bagaimanapun berpandangan, tanggapan tersebut perlu dilihat secara seimbang dan tidak boleh dipisahkan daripada perubahan konteks zaman.
Jelasnya, remaja hari ini berdepan tekanan yang jauh lebih kompleks berbanding generasi terdahulu, termasuk persaingan akademik yang semakin sengit, ketidaktentuan masa depan serta pendedahan berterusan kepada dunia digital.
Dalam masa sama, sistem sokongan mereka juga berubah, termasuk kesibukan ibu bapa dan cabaran kehidupan moden.
“Dahulu, banyak perkara dipendam. Hari ini, ia dizahirkan. Jadi ia bukan semata-mata kelemahan, tetapi tanda generasi ini lebih celik emosi dan berani meluahkan apa yang dirasai,” ujarnya kepada Pop Family.
Dr Rozanizam turut menegaskan bahawa media sosial dan persekitaran digital memainkan peranan besar dalam membentuk emosi serta daya tahan remaja.
Walaupun ia membuka ruang kepada sokongan sosial, akses maklumat dan peluang pembelajaran, ia juga mewujudkan tekanan melalui perbandingan sosial yang tidak realistik serta kebergantungan kepada pengiktirafan seperti tanda suka dan komen.
Menyentuh label 'strawberry generation', Dr Rozanizam berpandangan istilah tersebut boleh memberi implikasi negatif jika digunakan secara meluas kerana ia berisiko merendahkan potensi generasi muda.
“Generasi ini sebenarnya mempunyai kekuatan tersendiri seperti empati yang lebih tinggi, kesedaran terhadap kesihatan mental serta keterbukaan dalam komunikasi. Kita perlu melihat kekuatan ini, bukan sekadar kelemahan,” ujarnya.
Dari sudut masa depan, generasi ini berpotensi membawa pendekatan kepimpinan yang lebih empati, kolaboratif dan inklusif.
“Pendekatan ini boleh membawa perubahan yang lebih manusiawi dalam masyarakat, namun ia perlu diseimbangkan dengan nilai asas seperti tanggungjawab, adab dan ketegasan dalam membuat keputusan,” katanya.
Signal
Dalam pada itu, tingkah laku remaja yang sering dianggap ‘luar jangkaan’ seperti melukis tatu atau mengalami serangan kebimbangan tidak wajar dilabel secara ringkas sebagai tanda kelemahan.
Sebaliknya, ia merupakan petunjuk kepada isu yang lebih mendalam.
“Dalam banyak kes, ia adalah ‘signal’. Remaja mungkin sedang mencari identiti, cuba mengawal sesuatu dalam hidup yang dirasakan tidak stabil atau mengekspresikan tekanan emosi yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata. Kita tidak boleh melihat tingkah laku itu secara permukaan sahaja tanpa memahami konteks di sebaliknya,” katanya.
Mengulas pendekatan keibubapaan moden, Dr Rozanizam tidak menafikan sikap terlalu melindungi boleh memberi kesan kepada daya tahan anak.
Anak yang sentiasa diselamatkan daripada kegagalan tidak berpeluang belajar mengurus kekecewaan, menyelesaikan masalah dan membina keyakinan diri.
“Apabila anak tidak diberi ruang untuk melalui kesukaran, mereka tidak sempat membina kemahiran untuk menghadapi cabaran sebenar dalam kehidupan. Daya tahan itu tidak datang secara automatik, tetapi terbina melalui pengalaman,” jelasnya.
Saranan
Justeru, ibu bapa disaran mengimbangi empati dan pembinaan kemahiran.
“Validasi emosi itu penting supaya anak rasa didengari, tetapi dalam masa yang sama mereka perlu dibimbing untuk memahami apa yang mereka rasa dan bagaimana untuk menguruskannya,” jelasnya lagi.
Justeru Dr Rozanizam menyarankan remaja hari ini perlu dilengkapi dengan kemahiran penting seperti keupayaan mengawal emosi, memahami diri, berfikir secara kritikal serta membina hubungan yang sihat.
“Keupayaan memahami diri, mengawal emosi dan berfikir secara kritikal amat penting dalam dunia hari ini, terutama apabila remaja terdedah kepada pelbagai pengaruh yang boleh membentuk cara mereka melihat diri sendiri,” katanya.