Selepas Malaysia menyuarakan hasrat untuk mengetatkan penggunaan media sosial dalam kalangan remaja, Turkiye kini melangkah setapak ke hadapan apabila Ahli Parlimennya mengundi menyokong larangan penggunaan platform itu bagi individu di bawah usia 15 tahun.
Cadangan yang diluluskan di Ankara itu bagaimanapun masih memerlukan tandatangan Presiden, Recep Tayyip Erdogan sebelum ia boleh dikuatkuasakan dalam tempoh enam bulan.
Di bawah undang-undang tersebut, platform media sosial tidak lagi dibenarkan menawarkan perkhidmatan kepada pengguna bawah 15 tahun serta diwajibkan memperkenalkan sistem pengesahan umur dan kawalan ibu bapa.
Platform yang mencatat lebih 10 juta akses harian turut perlu mematuhi arahan rasmi dalam tempoh satu jam bagi kes mendesak, selain memastikan kandungan yang telah dipadam tidak dimuat naik semula.
Langkah itu bagaimanapun mendapat tentangan daripada parti pembangkang utama.
Ahli Parlimen CHP, Gokhan Gunaydin, mendakwa ia membuka ruang kepada kawalan lebih luas atas alasan kesejahteraan kanak-kanak.
Sebelum ini, Australia menjadi negara pertama memperkenalkan larangan akses media sosial bagi individu bawah 16 tahun, sekali gus mencetuskan perbincangan global mengenai kesan platform digital terhadap kesihatan mental remaja.
Dalam landskap digital yang semakin kompleks, isu ini terus mengundang persoalan tentang keseimbangan antara perlindungan dan kebebasan generasi muda. - Bernama