Di tengah kebimbangan mengenai keselamatan kanak-kanak dalam talian, ibu bapa di Malaysia masih dibenarkan mengendalikan akaun media sosial anak berusia 16 tahun dan ke bawah dengan pemantauan sepenuhnya.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu penting bagi memastikan kanak-kanak tidak menguruskan sendiri akaun media sosial mereka tanpa pengawasan, sekali gus mengurangkan risiko terdedah kepada ancaman yang tidak diingini di internet.
Katanya, terdapat ibu bapa yang membuka serta mengurus akaun media sosial anak, termasuk bagi tujuan menghasilkan kandungan digital seperti pempengaruh atau pencipta kandungan.
“Sekiranya ibu bapa yang membuka akaun untuk anak-anak, maka pengawasan akaun itu adalah pada ibu bapa.
“Kita tidak tahu mereka bercakap dengan siapa, siapa yang direct message mereka, serta apa yang boleh berlaku kepada maklumat data sekiranya ada pihak tidak bertanggungjawab berkomunikasi dengan anak-anak ini,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching memaklumkan pelaksanaan had umur minimum penggunaan aplikasi dalam talian kini berada dalam fasa pengawalseliaan sandbox (regulatory sandbox), bagi membolehkan kerajaan menguji kaedah terbaik sebelum pelaksanaan penuh diperkenalkan.
Langkah berkenaan juga selari dengan Akta Keselamatan Dalam Talian (Online Safety Act, OnSA), dengan perbincangan bersama penyedia platform media sosial telah dimulakan bagi mengenal pasti pendekatan paling berkesan.
Dalam pada itu, Fahmi turut mengingatkan ibu bapa supaya lebih berhati-hati apabila berkongsi maklumat peribadi keluarga di internet, termasuk alamat rumah atau butiran sensitif lain.
Menurutnya, perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) kini turut membuka ruang kepada penyalahgunaan, termasuk kemungkinan gambar atau video kanak-kanak disunting untuk tujuan tidak baik.
“Tidak menjadi masalah sekiranya ibu bapa mengendalikan akaun anak-anak, tetapi mesti sentiasa berwaspada. Mesej kita ialah gunakan internet dengan selamat,” ujarnya.