Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli menghadiahkan detik yang dinanti-nantikan peminat sukan permotoran tanah air apabila muncul juara Grand Prix (GP) Czech di Litar Brno, sekali gus menamatkan penantian sedekad Malaysia untuk kembali bergelar juara dalam saingan Moto3.

Lebih manis, kemenangan sulung musim ini hadir menerusi kebangkitan luar biasa selepas pelumba berusia 18 tahun itu terpaksa memulakan perlumbaan dari petak ke-14 susulan penalti yang diterimanya ketika sesi kelayakan.

Bangkit selepas penalti

Hakim Danish sebelum itu mencuri perhatian apabila berjaya meraih petak kedua hasil aksi cemerlang yang dipamerkan sepanjang sesi kelayakan di Brno.

- Advertisement / Iklan -

Bagaimanapun, beliau dikenakan penalti selepas didapati memperlahankan jenteranya di salah satu sektor ketika sesi kelayakan kedua (Q2), sekali gus menyaksikannya diturunkan ke petak ke-14.

Namun, situasi itu langsung tidak mematahkan semangat pelumba kelahiran Terengganu itu.

- Advertisement / Iklan -

Sebaliknya, Hakim Danish mempamerkan tunggangan agresif, tenang dan penuh keyakinan apabila berjaya memintas seorang demi seorang pencabar sebelum melintasi garisan penamat di kedudukan pertama dengan catatan masa 33 minit 34.26 saat.

Kebangkitan luar biasa Hakim Danish yang akan dikenang peminat sukan permotoran negara.
Kebangkitan luar biasa Hakim Danish yang akan dikenang peminat sukan permotoran negara.

Pelumba Sepanyol, Brian Uriarte menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan ketinggalan 0.466 saat, manakala rakan senegaranya, Marco Quiles melengkapkan podium di kedudukan ketiga selepas berada 0.629 saat di belakang Hakim Danish.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan itu sekali gus mengakhiri penantian 10 tahun Malaysia untuk kembali menikmati kejayaan dalam saingan Moto3 sejak kali terakhir dilakar Khairul Idham Pawi pada musim 2016.

Untuk rekod, Khairul Idham mencipta sejarah apabila muncul juara GP Argentina dan GP Jerman dalam kelas Moto3 pada musim berkenaan, yang kekal sebagai dua kemenangan tunggal pelumba Malaysia di pentas dunia sebelum kejayaan Hakim Danish di Brno.

Momen di podium sentuh hati

Di sebalik kegembiraan meraikan kemenangan, satu lagi momen di podium turut mencuri perhatian peminat di seluruh dunia.

Sebaik upacara podium bermula, pengurus pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI, Jordi Gatell dilihat pantas mengalihkan botol champagne yang diletakkan di tempat Hakim Danish sepatutnya berdiri.

Ketika sesi champagne shower berlangsung pula, Hakim Danish memilih untuk meninggalkan podium, malah Jordi turut beredar bersamanya sebagai tanda menghormati pegangan agama pelumba muda negara itu.

Di sebalik kejayaan Hakim Danish, ada pasukan yang tidak pernah berhenti memberi sokongan.
Di sebalik kejayaan Hakim Danish, ada pasukan yang tidak pernah berhenti memberi sokongan.

Tindakan spontan Jordi yang bukan beragama Islam itu menerima pujian ramai kerana disifatkan mencerminkan sikap saling menghormati kepelbagaian budaya dan agama dalam arena sukan antarabangsa.

Malah, pengulas siaran langsung perlumbaan turut menjelaskan kepada penonton bahawa Hakim Danish tidak menyertai sambutan champagne shower kerana menghormati pegangan agama Islam yang dianutinya.

Dalam dunia sukan yang menghimpunkan pelbagai bangsa, budaya dan agama, momen singkat di Brno itu menjadi bukti bahawa rasa hormat tidak memerlukan persamaan kepercayaan, sebaliknya lahir daripada sikap saling memahami antara satu sama lain.