Hubungan rapat dengan anak bukan bermakna semua batas boleh diketepikan.
Bagi pelakon dan penyanyi, Erra Fazira, 52, walaupun dia selesa menjadi tempat anak perempuannya, Engku Aleesya Engku Emran, 17, bercerita dan bergurau, dia tetap mahu Aleesya memahami bahawa rasa hormat kepada ibu bapa tidak boleh dikompromi.
"Saya selalu tekankan kepada Alicia (Aleesya), I can be your friend but I'm still your mother.
"Saya boleh bergurau, tetapi sebagai seorang ibu, menghormati dan tahu limit itu penting," katanya kepada Pop Family.
Menurut Erra, mendidik remaja memerlukan pendekatan yang lebih lembut dan memahami emosi mereka.
"Kadang-kadang baru tanya sikit, dia sudah bermasam muka. Kalau berlaku berulang kali, saya akan tegur dan tanya baik-baik kenapa dia beri reaksi begitu," katanya.
Dalam masa sama, Erra mengakui dia tetap akan bertegas apabila keadaan memerlukan.
"Anak tahu bila dia melampaui batas, mak dia mesti marah. Marah tetap kena marah. Saya bukan ibu yang terlalu sporting. Ada batas," ujarnya.
Mengulas tentang isu privasi pula, Erra berpendapat selagi anak masih berada di bawah jagaan ibu bapa dan masih bersekolah, tiada istilah privasi sepenuhnya.
"Kadang-kadang anak cakap, 'Ini privasi saya.' Tetapi saya akan cakap, saya ibu awak.
"Selagi awak masih di bawah jagaan saya dan masih bersekolah, saya rasa tiada istilah privasi," katanya.
Bagi Erra, membesarkan anak remaja bukan sekadar tentang memberi kebebasan, tetapi juga membina kepercayaan, sambil memastikan mereka memahami batas dan tanggungjawab dalam sebuah keluarga.