Bila menyentuh mengenai sosok seorang ayah, pasti ramai yang membayangkan figura seorang bapa yang tegas, berwajah serius, kurang bercakap, jarang bertanya perkembangan semasa anak-anak dan lebih banyak menghabiskan masa dengan bekerja atau melakukan perkara lain di rumah.
Hakikatnya, di sebalik sifat yang kelihatan tenang dan sukar dibaca itu, ramai ayah sebenarnya memendam pelbagai kebimbangan serta kasih sayang yang sukar diluahkan dengan kata-kata.
Sikap mereka yang kelihatan 'tidak kisah' sering disalah tafsir sebagai tidak mengambil berat, sedangkan apa yang dirasakan di dalam hati mungkin jauh berbeza.
Menurut Pakar Psikiatri dan Ketua Jabatan Psikiatri Kulliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Ramli Musa, kebanyakan bapa sebenarnya menyimpan emosi kerana memikul tanggungjawab yang besar sebagai ketua keluarga.
Katanya, kegagalan seorang bapa melaksanakan tanggungjawab bukan sahaja memberi kesan kepada keharmonian rumah tangga, malah boleh mempengaruhi perkembangan anak-anak yang akhirnya membentuk masyarakat dan masa depan negara.
"Memikul tanggungjawab yang besar ini membentuk sifat mereka supaya lebih matang dan tidak mudah dipengaruhi emosi kerana keputusan yang dibuat mengikut emosi boleh memberi implikasi yang tidak sihat kepada keluarga.
"Lumrah sifat lelaki sememangnya kurang beremosi. Namun sebagai manusia, mereka tetap mempunyai perasaan, cuma ia jarang diluahkan dengan kata-kata," jelasnya kepada Pop Family.
Beliau berkata, apabila berdepan masalah keluarga, kebanyakan bapa memilih untuk kekal tenang kerana mereka bukan tidak mengambil berat, sebaliknya sedang berusaha mencari penyelesaian terbaik.
"Seorang bapa yang bertanggungjawab melihat masalah keluarga sebagai keutamaan. Walaupun mereka berasa risau, pada masa sama mereka perlu bertindak secara rasional. Lelaki secara umumnya lebih task-oriented, manakala wanita pula lebih emotion-oriented," katanya.
Kasih sayang
Tegas Dr Ramli, pendekatan itu kadangkala menyebabkan anak-anak tersalah anggap bahawa ayah tidak mengambil peduli terhadap apa yang berlaku dalam kehidupan mereka.
Sedangkan, bagi kebanyakan bapa, kasih sayang lebih banyak diterjemahkan melalui tindakan, pengorbanan dan usaha memastikan keluarga sentiasa berada dalam keadaan selamat serta berkecukupan.
Ujarnya lagi, cara seseorang lelaki dibesarkan juga memainkan peranan besar dalam membentuk cara mereka mengekspresikan kasih sayang apabila berkeluarga.
"Lelaki yang dibesarkan dalam suasana tegas, rigid dan kurang menerima kasih sayang secara terbuka sejak kecil cenderung menjadi individu yang sukar meluahkan perasaan kepada isteri serta anak-anak apabila dewasa," katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan seorang ayah yang tegas tidak semestinya tidak menyayangi keluarga.
"Bapa juga perlu sedar bahawa kasih sayang bukan hanya diukur melalui penyediaan keperluan fizikal seperti rumah yang selesa, makanan atau wang saku. Anak-anak juga memerlukan perhatian, sokongan emosi serta nafkah spiritual melalui didikan agama yang baik," ujarnya.
Implikasi
Beliau berkata, anak yang membesar dengan tanggapan bahawa ayah tidak mengambil berat berisiko berdepan pelbagai cabaran emosi dan sosial.
"Antara implikasi yang saya lihat dalam amalan klinikal ialah kemurungan, kebimbangan, sikap memberontak, penyalahgunaan dadah, penglibatan dalam jenayah serta pelbagai isu berkaitan tingkah laku seksual," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan golongan bapa supaya lebih berani menzahirkan kasih sayang melalui kata-kata dan tindakan.
Katanya, ungkapan ringkas seperti"Abah sebenarnya sayang dan ambil berat kamu","Kamu sentiasa ada dalam doa abah" atau"Kamu ialah keutamaan ayah" mungkin kelihatan kecil, namun mampu memberi kesan besar terhadap keyakinan dan kesejahteraan emosi anak.
Beliau turut mengingatkan golongan bapa supaya mengelakkan sikap pilih kasih atau membandingkan anak-anak kerana setiap anak memerlukan perhatian, kasih sayang dan layanan yang adil.
"Tidak salah juga menunjukkan kasih sayang melalui pelukan atau ciuman di dahi. Kadangkala perkara kecil seperti itu mampu membuatkan anak berasa dihargai dan disayangi.
"Belajarlah menunjukkan kasih sayang melalui kata-kata dan tindakan. Selamat Hari Bapa. Bapa ialah tonggak kesejahteraan keluarga dan masyarakat," katanya mengakhiri perbualan.