Di sebalik jadual padat, pelajaran tetap keutamaan

- Advertisement / Iklan -
Ummi Umairah Saiful Anuar
Penyanyi Umairah akui keletihan menjadi cabaran terbesar, namun disiplin yang diterapkan keluarga dan sokongan sekolah membantunya mengimbangi akademik serta kerjaya seni

Bukan mudah untuk membahagikan masa antara pelajaran dan kerjaya seni, apatah lagi apabila kedua-duanya menuntut komitmen yang tinggi.

Namun bagi penyanyi muda, Ummi Umairah Saiful Anuar atau lebih dikenali sebagai Umairah, usia bukan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar walaupun namanya semakin dikenali dalam industri hiburan tempatan.

Di sebalik jadual yang padat dengan rakaman lagu, sesi promosi dan pelbagai aktiviti seni, pelajaran tetap menjadi keutamaan buat penyanyi yang mesra disapa Umai itu.

Menurutnya, kehidupan sebagai pelajar sekolah berasrama banyak membantu membentuk disiplin diri selain memudahkan pengurusan masa antara akademik dan kerjaya.

- Advertisement / Iklan -

“Saya sekolah asrama dan cikgu-cikgu juga sangat memahami keadaan saya. Mereka tahu saya ada komitmen dalam bidang seni, jadi banyak membantu dan memberi sokongan.

“Kebanyakan aktiviti seni pula dibuat ketika cuti sekolah. Jadi apabila cuti, jadual memang agak padat kerana kami cuba siapkan banyak perkara lebih awal supaya apabila sesi persekolahan bermula semula, saya boleh memberi fokus kepada pelajaran,” katanya kepada Pop Family.

- Advertisement / Iklan -

Biarpun sering berulang-alik dan terpaksa mengorbankan masa rehat, Umai menganggap segala pengorbanan itu sebagai sebahagian daripada perjalanan untuk mengejar impian yang diminatinya sejak kecil.

“Perkara yang paling saya korbankan mungkin tenaga dan masa rehat. Memang penat, tetapi saya sudah tanam dalam fikiran bahawa ini adalah bidang yang saya minat.

“Bila kita buat sesuatu yang kita suka, penat itu terasa berbaloi sebab kita nampak hasilnya. Apa yang penting jangan sampai penat itu membuatkan kita putus asa,” ujarnya.

Tambah anak sulung itu, sokongan keluarga menjadi faktor utama yang membuatkannya terus bersemangat untuk meneruskan perjalanan dalam industri seni.

Gadis berusia 15 tahun itu juga mengimbau pengalaman menyertai pertandingan nyanyian ketika masih kecil yang banyak mengajarnya mengenai disiplin dan tanggungjawab.

Menurutnya, sejak usia lapan tahun lagi dia sudah biasa berdepan rutin yang padat apabila perlu menghadiri latihan, rakaman dan pelbagai aktiviti berkaitan pertandingan sebelum kembali ke sekolah seperti biasa pada keesokan harinya.

“Sejak kecil lagi saya memang dididik supaya tidak mengabaikan pelajaran. Walaupun sibuk dengan pertandingan atau aktiviti seni, sekolah tetap perlu diutamakan.

“Nenek saya juga sangat tegas tentang pendidikan. Jadi saya memang sudah terbiasa dengan rutin seperti itu,” katanya yang percaya ilmu dan restu guru sangat penting untuk masa depan.

Media sosial

Dalam perkembangan lain, Umai turut berkongsi pandangannya mengenai cadangan kerajaan untuk mengehadkan penggunaan media sosial kepada individu berusia bawah 16 tahun.

Menurutnya, langkah tersebut mempunyai tujuan yang baik memandangkan kanak-kanak hari ini terdedah kepada pelbagai bentuk kandungan di alam maya.

“Akaun media sosial saya memang diuruskan oleh ibu bapa sejak awal lagi. Jadi bagi saya, jika kerajaan mahu melaksanakan peraturan seperti itu, saya faham sebabnya.

“Sekarang memang terlalu mudah untuk kanak-kanak berhubung dengan macam-macam perkara melalui internet. Saya rasa langkah itu dibuat demi kebaikan generasi akan datang,” katanya.

Bagaimanapun, Umai tidak melihat cadangan tersebut akan memberi kesan besar terhadap perjalanan kerjayanya kerana kebanyakan urusan berkaitan persembahan dan aktiviti seni dikendalikan oleh pasukan pengurusannya.

Single baharu

Dalam masa sama, anak muda itu terus melakar perkembangan positif dalam karier apabila tampil dengan single terbaharu, Hujung Indah yang disifatkannya sebagai antara cabaran terbesar sepanjang bergelar penyanyi.

“Lagu ini agak mencabar kerana saya tidak biasa membawa lagu yang berat dari segi emosi. Saya juga perlu masuk studio beberapa kali sebelum benar-benar berpuas hati dengan rakaman yang dihasilkan.

“Tetapi saya bersyukur kerana pengalaman itu membuatkan saya lebih yakin untuk mencuba pelbagai genre pada masa akan datang,” katanya.

Lebih menggembirakan, Umairah juga bakal tampil dengan mini album yang menghimpunkan beberapa karya termasuk lagu popularnya, Sayap dijangka akan menemui peminat akhir tahun ini.

Bagi penyanyi muda itu, peluang menghasilkan mini album pada usia yang masih muda merupakan satu rezeki besar yang tidak pernah dijangka.